Terma & Syarat Am
Ini ialah terjemahan Bahasa Melayu bagi General Terms & Conditions kami. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan antara kedua-dua versi, versi Bahasa Inggeris akan diguna pakai.
Dikemas kini berkuat kuasa 1 Januari 2022
Dokumen ini (“Terma”) mengandungi terma dan syarat am yang terpakai kepada pelanggan (“Pelanggan” atau “anda”) Platesmith Catering Sdn. Bhd. (“Platesmith” atau “kami”). Dengan menandatangani perjanjian majlis (“Perjanjian”) dengan kami, membuat tempahan bagi perkhidmatan kami, atau menerima perkhidmatan kami, anda bersetuju untuk mematuhi Terma ini.
1. PERKHIDMATAN KAMI
1.1Penyediaan dan pelantikan perkhidmatan kami adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian dan Terma ini. Tanggungjawab perkhidmatan kami terhad kepada skop perkhidmatan yang dinyatakan dalam Perjanjian. Sebarang perubahan kepada skop perkhidmatan kami mestilah dipersetujui bersama secara bertulis.
1.2Atas permintaan, kami boleh membantu anda mendapatkan dan melantik perkhidmatan pihak ketiga tertentu (contohnya jurugambar, jurukamera video, kumpulan muzik, peralatan tambahan, hidangan khas, hiasan khas dan sebagainya) bagi pihak anda, tertakluk kepada ketersediaan di pasaran dan caj tambahan. Penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang bebas itu bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan mereka kepada anda, dan kami tidak bertanggungjawab atau bertanggungan atas perkhidmatan pihak ketiga tersebut.
2. DEPOSIT
Melainkan dipersetujui sebaliknya secara bertulis, semua deposit yang dibayar oleh anda tidak akan dikembalikan. Sila rujuk Klausa 19 di bawah bagi keadaan di mana deposit atau bayaran yang telah dibuat boleh ditukar kepada kredit untuk digunakan bagi perkhidmatan kami.
3. HARGA DAN BAYARAN
3.1Caj bagi perkhidmatan kami adalah seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian dan terpakai bagi majlis yang dinyatakan sahaja. Sila ambil perhatian bahawa harga yang disebut boleh disemak semula, bergantung kepada sebarang perubahan pada keperluan majlis, bilangan hadirin, pakej, menu, tarikh majlis dan keadaan lain yang berkaitan.
3.2Semua caj mesti dibayar dalam mata wang Ringgit Malaysia. Sebarang caj bank hendaklah ditanggung oleh Pelanggan. Sebarang kerugian pertukaran wang yang timbul daripada akaun yang dijelaskan dalam mata wang lain (terpakai kepada pelanggan luar negara) akan ditanggung oleh Pelanggan.
3.3Bayaran bagi perkhidmatan kami mesti dibuat mengikut jadual caj dan terma bayaran yang dinyatakan dalam Perjanjian. Melainkan dipersetujui sebaliknya secara bertulis, semua invois yang dikeluarkan kepada anda mesti dijelaskan dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh invois.
3.4Melainkan diluluskan sebaliknya oleh pihak pengurusan kami, kami berhak menggantung perkhidmatan kami, menamatkan Perjanjian dan/atau tidak membenarkan anda memasuki tempat majlis kami sekiranya sebarang caj yang perlu dibayar kepada kami tidak dijelaskan mengikut terma bayaran yang dinyatakan dalam Perjanjian.
4. MAKANAN & MINUMAN
4.1Minuman beralkohol dan menu daging tidak halal tidak dibenarkan dihidangkan di tempat majlis kami.
4.2Atas sebab kesihatan dan keselamatan, hanya makanan atau minuman yang disediakan dan dihidangkan di bawah kawalan kami boleh dimakan di tempat majlis kami, dan sebarang lebihan makanan atau minuman tersebut daripada majlis anda tidak boleh dibawa keluar dari tempat majlis.
4.3Kami tidak bertanggungan atas kualiti makanan atau pencemaran makanan sekiranya makanan yang disediakan oleh kami dimakan selepas masa yang disyorkan, termasuk makanan yang dibawa keluar dari tempat majlis.
4.4Kakitangan kami hanya akan mengendalikan makanan dan minuman yang disediakan oleh dapur kami. Sila maklumkan kepada kami lebih awal sekiranya kakitangan dan/atau peralatan tambahan diperlukan untuk mengendalikan makanan dan minuman lain yang dihidangkan.
5. PERSEDIAAN SEBELUM MAJLIS
Akses awal ke tempat majlis kami untuk persediaan sebelum majlis adalah tertakluk kepada kekosongan. Pelanggan majlis perkahwinan boleh memohon sesi raptai, tertakluk kepada kekosongan dan caj tambahan.
6. CAJ AUDIO VISUAL
Peralatan audio visual boleh disewa. Bergantung kepada pakej pilihan anda, ia mungkin sudah termasuk dalam pakej. Semua permintaan bagi peralatan audio visual tambahan adalah tertakluk kepada ketersediaan dan caj tambahan.
7. SEKATAN BUNYI
Tempat majlis kami tidak membenarkan penggunaan sistem bunyi dan pengumuman awam di ruang legar dan kawasan awam. Bunyi dan kelantangan di dalam bilik majlis tidak boleh melebihi tahap yang munasabah demi keselesaan semua tetamu. Kami berhak meminta bunyi atau kelantangan dikurangkan sekiranya melebihi tahap yang selesa.
8. SURCAJ
Anda bertanggungjawab memastikan tempat majlis dikosongkan pada masa yang ditetapkan. Sekiranya majlis anda melebihi masa yang ditetapkan, surcaj tambahan pada kadar semasa akan dikenakan dan perlu dibayar oleh anda pada akhir majlis.
9. TEMPAT LETAK KERETA
Kemudahan tempat letak kereta di tempat majlis kami dikendalikan oleh syarikat pengurusan tempat letak kereta pihak ketiga. Kadar letak kereta berikut terpakai dan boleh berubah pada bila-bila masa tanpa notis terlebih dahulu.
| Hari | Keterangan | Kadar |
|---|---|---|
| Isnin hingga Jumaat (Hari bekerja) | Jam pertama atau sebahagian daripadanya | RM1.00 |
| Setiap jam berikutnya atau sebahagian daripadanya | RM1.00 | |
| Kadar maksimum sehari | RM5.00 | |
| Sabtu & Ahad (Hujung minggu) | Setiap kemasukan sehari | RM2.00 |
10. PENYIMPANAN
Sekiranya anda menyimpan sebarang barang peribadi, bahan atau peralatan di tempat majlis kami, sama ada semasa, sebelum atau selepas majlis anda, ia adalah atas risiko anda sendiri dan kami tidak bertanggungan atas sebarang kehilangan atau kerosakan barang peribadi, bahan atau peralatan milik anda, hadirin atau tetamu jemputan anda.
11. MEROKOK
Selaras dengan peraturan semasa Kementerian Kesihatan Malaysia, sila ambil perhatian bahawa merokok adalah dilarang sama sekali di semua bilik majlis persendirian berhawa dingin, kawasan pra-majlis dan ruang legar di tempat majlis kami.
12. PENGGUNAAN GAMBAR DAN VIDEO
Anda bersetuju memberikan kepada kami hak yang tidak boleh dibatalkan, tanpa sekatan dan bebas royalti untuk menerbitkan semula imej gambar dan/atau video majlis anda (termasuk imej pengantin lelaki dan perempuan) yang dirakam di dalam dan di sekitar tempat majlis kami bagi tujuan penerbitan, promosi, ilustrasi atau pengiklanan, dalam apa jua cara atau medium, tanpa atribusi atau pampasan kepada anda, berkaitan dengan perkhidmatan kami. Anda bersetuju melepaskan kami serta pemegang saham, pengarah, pegawai, pekerja dan ejen kami daripada semua tuntutan dan liabiliti berkaitan penggunaan imej atau video tersebut. Selain itu, anda bersetuju memberikan kepada kami hak untuk menggunakan kenyataan anda semasa temu bual dengan kami bagi tujuan pengiklanan dan publisiti perkhidmatan kami tanpa sekatan.
13. LESEN HIBURAN
Lesen hiburan muzik diperlukan bagi majlis yang menggunakan muzik, sama ada melalui muzik latar, mesin muzik, karaoke, pertunjukan fesyen atau persembahan artis secara langsung di bilik majlis, dewan bankuet atau dewan tari. Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk memohon sebarang lesen daripada dan/atau membayar sebarang yuran lesen terus kepada badan pelesenan atau perlindungan hak cipta yang berkaitan.
14. KEROSAKAN
14.1Anda bertanggungjawab atas sebarang kehilangan, kerosakan, kecederaan diri atau kematian yang disebabkan oleh anda atau mana-mana hadirin atau tetamu jemputan anda yang berlaku semasa majlis anda di tempat majlis kami.
14.2Anda tidak boleh menampal, menyemat, memaku, memasang skru atau melekatkan sebarang bahan atau paparan pada tiang, dinding, lantai atau bahagian lain bangunan atau perabot di tempat majlis kami tanpa kelulusan bertulis kami terlebih dahulu. Sekiranya kebenaran diberikan, anda bertanggungjawab atas semua kerosakan, pecahan dan penanggalan semua bahan atau paparan tersebut; sebarang kos pembaikan atau penggantian akan ditanggung oleh anda.
14.3Penggunaan bunga rampai segar, party popper, potpourri kering atau barangan berkaitan yang boleh mengotorkan permaidani atau memerlukan kerja pembersihan tambahan adalah dilarang sama sekali di tempat majlis kami. Kami boleh mempertimbangkan pengecualian khas dengan syarat anda bersedia membayar caj buruh untuk membersihkan barangan tersebut.
14.4Bunga api atau aktiviti seumpamanya yang boleh menyebabkan bahaya kebakaran tidak dibenarkan di tempat majlis kami.
14.5Sekiranya anda memerlukan susun atur tambahan selain susun atur dan hiasan standard tempat majlis, anda atau ejen/kontraktor yang dilantik oleh anda hendaklah meletakkan deposit keselamatan sebanyak RM2,000.00 (atau amaun lain yang kami tentukan) dengan kami. Deposit keselamatan tersebut akan dikembalikan sekiranya tiada pelanggaran Terma & Syarat Kontraktor Luar kami. Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran, kehilangan atau kerosakan yang disebabkan oleh anda atau ejen/kontraktor anda kepada tempat majlis, perabot, kelengkapan atau peralatan kami, deposit keselamatan tersebut akan digunakan untuk menolak sebarang kos pembaikan atau penggantian. Sekiranya deposit keselamatan tidak mencukupi untuk menampung kos tersebut, sebarang kos tambahan akan ditanggung oleh anda.
15. PEMBATALAN MAJLIS
Anda mengakui bahawa sekiranya anda membatalkan majlis anda setelah kami menempah tempat majlis untuk anda menurut Perjanjian, kami akan mengalami kerugian akibat kehilangan hasil, peluang perniagaan dan/atau perbelanjaan yang telah ditanggung untuk membuat persediaan bagi majlis anda. Oleh itu, sekiranya anda membatalkan majlis anda atau perkhidmatan kami selepas tarikh Perjanjian, caj pembatalan berikut akan dikenakan.
| Tempoh Pembatalan | Caj Pembatalan |
|---|---|
| Selepas tarikh Perjanjian tetapi dalam tempoh lima (5) bulan sebelum tarikh majlis. | 100% bayaran yang dibuat oleh anda sebelum pembatalan akan dilucuthak, termasuk tetapi tidak terhad kepada sebarang deposit yang telah dibayar. |
| Selepas tarikh Perjanjian tetapi dalam tempoh tiga puluh (30) hari sebelum tarikh majlis. | 100% daripada jumlah nilai asal kontrak atau nilai kontrak yang disemak semula (mengikut mana-mana yang berkenaan) bagi Perjanjian akan dikenakan dan perlu dibayar oleh anda dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh pembatalan. |
Sebarang bayaran balik akan dinyatakan dalam nota kredit yang dikeluarkan kepada anda. Deposit keselamatan yang boleh dikembalikan bukan sebahagian daripada caj pembatalan ini dan diselesaikan secara berasingan, setelah ditolak sebarang amaun yang ditahan bagi kehilangan atau kerosakan di bawah Klausa 14.
16. PENANGGUHAN MAJLIS
Oleh kerana kami perlu membuat persediaan awal bagi majlis anda, anda hanya boleh membuat satu (1) kali perubahan atau penangguhan tarikh majlis, tertakluk kepada kekosongan tempat majlis kami. Perubahan ini adalah percuma sekiranya permintaan perubahan dibuat sekurang-kurangnya 5 bulan sebelum tarikh majlis semasa, atau sekiranya tempahan anda dibuat kurang daripada 5 bulan sebelum tarikh majlis. Sekiranya tempahan anda dibuat lebih awal dan permintaan perubahan dibuat kurang daripada 5 bulan sebelum tarikh majlis, caj pertukaran tarikh sebanyak RM3,000.00 akan ditambah ke invois anda.
17. PENAMATAN
Kami berhak menggantung perkhidmatan kami atau menamatkan Perjanjian sekiranya anda telah melanggar mana-mana terma Perjanjian (termasuk Terma ini) dan gagal membetulkan pelanggaran tersebut dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh notis kemungkiran yang dikeluarkan kepada anda. Apabila Perjanjian ditamatkan menurut klausa ini, kami tidak lagi mempunyai sebarang obligasi untuk menyediakan perkhidmatan kepada anda, anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan terhadap kami, dan anda bertanggungan atas caj pembatalan di bawah Klausa 15 di atas seolah-olah anda telah membatalkan majlis anda atau perkhidmatan kami.
18. HAD LIABILITI
18.1Liabiliti maksimum kami kepada anda bagi sebarang tuntutan, sama ada dalam kontrak, tort atau selainnya, berkaitan dengan atau yang timbul daripada Perjanjian (termasuk Terma ini) tidak akan melebihi lima puluh peratus daripada jumlah nilai asal kontrak atau nilai kontrak yang disemak semula (mengikut mana-mana yang berkenaan) bagi Perjanjian.
18.2Walau apa pun keadaannya, kami tidak bertanggungan kepada anda atas sebarang ganti rugi tidak langsung, sampingan, khas, punitif, teladan atau berbangkit, atau sebarang ganti rugi atau kerugian dalam apa jua bentuk dan cara berkaitan dengan atau yang timbul daripada Perjanjian (termasuk Terma ini), tanpa mengira bentuk tindakan atau asas tuntutan, dan sama ada kami telah dimaklumkan tentang kemungkinan ganti rugi atau kerugian tersebut atau tidak, termasuk tetapi tidak terhad kepada ganti rugi atas kehilangan keuntungan, gangguan perniagaan atau sebarang ganti rugi atau kerugian komersial lain.
19. FORCE MAJEURE
19.1Kami tidak bertanggungan atas sebarang kegagalan atau kelewatan dalam melaksanakan obligasi kami di bawah Perjanjian yang timbul daripada atau disebabkan, secara langsung atau tidak langsung, oleh keadaan di luar kawalan munasabah kami, termasuk tanpa had: bencana alam; gempa bumi; kebakaran; banjir; peperangan; kekacauan awam atau ketenteraan; perbuatan keganasan; sabotaj; mogok; pandemik; wabak; rusuhan; gangguan bekalan elektrik; kegagalan komputer dan apa-apa keadaan di luar kawalan munasabah kami yang boleh menyebabkan gangguan, kehilangan atau kerosakan perkhidmatan utiliti, pengangkutan, komputer (perkakasan atau perisian) atau komunikasi telefon; kemalangan; pertikaian buruh; mogok, penutupan tempat kerja, sekatan pergerakan, tindakan pihak berkuasa awam atau tentera; perintah atau tindakan kerajaan; atau ketidakupayaan untuk mendapatkan tenaga kerja, bahan, peralatan atau pengangkutan (setiap satunya “Keadaan Force Majeure”). Sekiranya berlaku kelewatan sedemikian, masa untuk melaksanakan obligasi tersebut akan dilanjutkan bagi tempoh yang sama dengan masa yang hilang akibat kelewatan tersebut.
19.2Sekiranya majlis anda tidak dapat diadakan atau perkhidmatan kami tidak dapat dilaksanakan pada tarikh majlis anda disebabkan oleh sebarang Keadaan Force Majeure, anda tidak berhak mendapat sebarang bayaran balik kerana kami telah menanggung perbelanjaan untuk membuat persediaan awal bagi majlis anda, tetapi anda berhak sama ada untuk:
(a)memohon satu (1) kali penangguhan majlis ke tarikh baharu (tarikh baharu tersebut tidak boleh kurang daripada lima (5) bulan selepas tarikh asal majlis dan tertakluk kepada kekosongan tempat majlis); atau
(b)memohon agar semua bayaran yang telah dibuat oleh anda ditukar kepada kredit bernilai sama untuk digunakan bagi perkhidmatan kami pada masa hadapan oleh anda atau mana-mana orang yang dinamakan oleh anda secara bertulis.
20. KESELURUHAN PERJANJIAN
Perjanjian (termasuk Terma ini) merupakan keseluruhan perjanjian antara Pelanggan dan Platesmith berkenaan perkara pokok Perjanjian dan menggantikan semua perjanjian dan persefahaman terdahulu, sama ada lisan atau bertulis, antara pihak-pihak berkenaan perkara pokok Perjanjian.
21. SALINAN PERJANJIAN
Perjanjian boleh ditandatangani dalam beberapa salinan, setiap satunya dianggap sebagai perjanjian asal dan kesemuanya membentuk satu perjanjian yang sama. Salinan Perjanjian boleh ditandatangani dan diserahkan melalui faksimili atau tandatangan elektronik lain (termasuk format dokumen mudah alih, PDF) oleh mana-mana pihak, dan pihak yang menerima boleh bergantung pada penerimaan dokumen yang ditandatangani dan diserahkan secara elektronik atau melalui faksimili tersebut seolah-olah dokumen asal telah diterima.
22. UNDANG-UNDANG YANG MENTADBIR DAN PENYELESAIAN PERTIKAIAN
22.1Perjanjian (termasuk Terma ini) hendaklah ditadbir dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.
22.2Sebarang pertikaian, kontroversi, perbezaan atau tuntutan antara pihak-pihak yang timbul daripada atau berkaitan dengan Perjanjian (termasuk Terma ini), termasuk kewujudan, kesahan, tafsiran, pelaksanaan, pelanggaran atau penamatannya (“Pertikaian”), hendaklah diselesaikan oleh pihak-pihak secara baik melalui perbincangan dengan suci hati atas permintaan bertulis mana-mana pihak. Sekiranya Pertikaian tersebut tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tarikh permintaan bertulis tersebut, pihak-pihak hendaklah tunduk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah Malaysia.
Laman web & pembelian dalam talian
Terma berikut terpakai kepada penggunaan laman web grandammara.com dan semua tempahan dewan, pakej perkahwinan, tiket Buffet Ramadan dan pembelian produk yang dibuat melaluinya. Perkhidmatan disediakan oleh Platesmith Catering Sdn Bhd yang mengendalikan Grand Ammara Wedding & Event Hall.
Tempahan dewan & pakej
- Tarikh dan sesi hanya disahkan selepas deposit diterima dan perjanjian tempahan ditandatangani.
- Baki bayaran dijelaskan mengikut jadual bayaran ansuran yang dinyatakan dalam perjanjian tempahan.
- Setiap sesi adalah 5 jam. Masa tambahan tertakluk kepada kekosongan dan caj tambahan.
- Harga "bermula dari" adalah panduan. Harga muktamad tertera dalam sebut harga dan perjanjian tempahan.
Promosi
Setiap promosi tertakluk kepada syarat khusus yang dinyatakan semasa promosi, dan tidak boleh digabungkan dengan promosi lain melainkan dinyatakan.
Tiket & produk
Tiket Buffet Ramadan sah untuk tarikh dan sesi yang dipilih sahaja. Pembelian produk tertakluk kepada Polisi Penghantaran dan Polisi Pemulangan kami.
Pembayaran
Pembayaran dalam talian diproses dengan selamat oleh CHIP melalui FPX, kad kredit/debit dan DuitNow. Kami tidak menyimpan butiran kad anda.
Perubahan terma
Kami boleh mengemas kini terma ini dari semasa ke semasa. Versi terkini akan sentiasa dipaparkan di halaman ini.
Hubungi kami
Platesmith Catering Sdn Bhd (1320861-V), Level Mezzanine, Avenue Crest, Jalan Jubli Perak 22/1, Seksyen 22, 40300 Shah Alam, Selangor. E-mel: [email protected] · Telefon: 012-674 4481